Disahkan mengandung anak kembar pastinya diimpikan oleh semua wanita. Hebat rasanya malah dianggap rezeki paling hebat.
Mengimpikan sepasang anak kembar sememangnya menjadi keinginan semua pasangan suami isteri namun diberikan rezeki Allah kembar tiga pastinya terasa bagaikan satu keajaiban yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Inilah yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Nurzahirah Mohamed Ibrahim dan suaminya, Mohd Najib Fahmi Mohd Tahar. Pasangan kembar tiga mereka, Daim Haris, Danisha Huda dan Darwisy Hakim kini sudah pun berusia 2 tahun 7 bulan.
“Sungguh saya terkejut dan gembira tidak terkata apabila doktor mengesahkan saya mengandungkan anak kembar. Bukan dua tetapi tiga!
Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira dan terkejut. Tidak terkata dan sangat bersyukur kerana diberikan anugerah tidak ternilai. Akhirnya penantian kami suami isteri dimakbulkan olehNya.
Lima tahun saya tunggu untuk peroleh zuriat selepas melangsungkan perkahwinan pada 3 Oktober 2009. Lama menunggu namun Allah beri kami berganda.
Semuanya selepas saya menjalani rawatan kesuburan di Pusat Bersalin Barakah, Bandar Puteri, Klang. Dua tahun juga saya ambil pil kesuburan dan akhirnya saya buat suntikan hormon di perut setiap dua hari sekali. Sebulan selepas itu saya disahkan hamil. Sungguh saya bersyukur.
Sama seperti ibu hamil lain, saya juga mengalami morning sickness pada waktu pagi dan waktu tengah malam. Namun saya mula membiasakan diri.
Alhamdulillah tiada alahan yang saya alami semasa mengandung. Namun saya dinasihatkan oleh doktor untuk lebihkan pemakanan yang mengandungi zat besi seperti daging, bayam, kerang dan juga hati untuk menambah darah kerana darah saya agak rendah ketika itu.
Perut saya juga membesar dengan cepat seperti kandungan 6 atau 7 bulan, padahalnya ketika itu kandungan saya baru berusia 5 bulan.
Ads
Pernah juga saya ditahan selama 5 hari di hospital kerana mengalami kontraksi seperti mahu bersalin. Syukur setelah rawatan diberikan saya kembali pulih.
Setelah kandungan berusia 29 minggu, saya dimasukkan ke hospital dan doktor terus memberikan tarikh untuk saya bersalin iaitu pada 34 minggu.
Tiada pilihan lain kerana kedudukan 2 bayi di dalam perut yang songsang dan seorang lagi melintang di bawah perut. Saya dinasihatkan untuk berehat di hospital sahaja sepanjang tempoh itu.
Saya serta kandungan sentiasa dipantau oleh doktor pakar, manakala setiap 4 jam sekali jururawat akan memastikan ketiga-tiga bayi berada dalam keadaan selamat.
Malah saya juga terpaksa dipakaikan dengan tali pinggang sokongan untuk menjaga tulang belakang dan mengurangkan sakit pinggang yang saya alami.
2 Jun 2014 menjadi satu tarikh yang begitu dinantikan kami berdua. Walaupun sangat teruja untuk melihat anak-anak kami sendiri dalam beberapa jam lagi namun disudut hati ini juga terasa amat takut.
Untungnya bukan hanya suami malah ibu mertua saya, Hajah Shahrumbi juga dibenarkan untuk masuk ke dewan bedah kerana dia merupakan seorang staff nurse di hospital itu.
Ads
Lebih kurang 20 orang termasuklah doktor pakar bedah, doktor pakar anestetik, doktor pakar kanak-kanak, doktor pelatih serta jururawat menyambut kelahiran anak saya.
Tepat jam 9 pagi, bilik bedah yang sunyi bertukar menjadi meriah dengan suara tangisan tiga-tiga bayi saya. Anak pertama saya, Daim Haris (1.8kg) dilahirkan diikuti Danisha Huda (1.6kg) dan selang 2 minit kemudiannya barulah Darwisy Hakim (2kg) dikeluarkan.
Daim Haris dan Danisha Huda ditunjukkan terus kepada saya manakala Darwisy Hakim terpaksa dimasukkan terus ke unit rawatan rapi NICU kerana kurang oksigen.
Ketiga-tiga bayi kembar saya ini dimasukkan ke dalam inkubator kerana saiz dan berat badan mereka yang masih kecil. Keadaan saya pula sedikit lemah, dua kali juga saya pengsan ketika bangun dari katil, kerana kehilangan banyak darah.
Hari ke 9 saya dan Darwisy Hakim dibenarkan keluar hospital. Manakala Daim pada hari ke 14 diikuti Danisha pada hari ke 21. Kami sangat gembira malah seluruh keluarga teruja untuk melihat ketiga-tiga kembar ini bersama untuk kali pertama.
Memori Indah Pengalaman menjaga mereka semasa bayi amat berharga dan takkan saya lupakan. Saya berpantang di rumah ibu ketika itu. Dalam sekelip mata sahaja, rumah ibu terus bertukar seperti pusat asuhan kanak-kanak. Mana tidaknya, hampir kesemua ruang, dari ruang tamu, dapur, bilik dan bilik air semuanya terdapat peralatan bayi.
Ads
Pada peringkat awal kami memakaikan kembar 3 ini dengan baju warna yang berlainan supaya tidak tertukar. Mereka juga telah saya sediakan buku catatan masing-masing supaya perkara seperti memberi susu, menukar lampin dan memberi ubat dan sebagainya tidak tertukar.
Banyak kenangan lucu yang kami lalui ketika waktu ini. Pernah suatu hari tokwan mereka, iaitu ayah saya memakaikan Daim dengan baju berwarna merah jambu kerana dia sangkakan itu adalah Danisha.
Dan ini bukan terjadi sekali tetapi beberapa kali juga. Malah Darwisy dan Daim juga selalu tertukar. Memang sangat lucu ketika waktu itu.
Bagi saya dan suami memang kami dapat bezakan ketiga-tiga mereka kerana mereka bukanlah kembar seiras. Tidak hanya ibu dan ayah malah kami juga dibantu oleh dua orang pembantu lain yang membantu melancarkan lagi perjalanan harian kami.
Ketika itu, walaupun saya masih lemah dan sangat penat malah luka pembedahan juga masih belum sembuh sepenuhnya tetapi kehadiran mereka di dalam keluarga saya membuatkan saya lebih sempurna dan gembira.
Sejak hadirnya kesemua anak-anak ini, adakalanya saya dan suami terasa seperti selebriti. Jika kami sekeluarga keluar di hujung minggu, sebaik kereta sorong bayi ditolak, ramailah yang teruja dan bertanyakan pelbagai soalan kepada saya dan suami.
Begitulah sepanjang perjalanan kami sepanjang hari itu. Saya tidak kisah malah seronok berkongsikan cerita dan pengalaman saya kepada mereka yang ingin tahu.
Kepada mereka yang berkahwin tetapi masih belum diberikan rezeki untuk punya zuriat sendiri, janganlah berputus asa. Berusaha dan berdoalah.
-Zahirah-
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal yang kini sedang hamil sempat berkongsi pengalamannya sepanjang hamil.
Akui Syasya, dia kini berperang dengan emosi malah mudah tersentuh dengan pelbagai hal disekeliling.
Tambah Syasya lagi, dia juga mengalami perubahan ketika hamil iaitu sering merasa sunyi meskipun ramai menemaninya.
“Awak semua tahu tak apa yang orang tidak dedahkan ketika mereka hamil..ianya tentang rasa sunyi.
“Walaupun ada orang yang di sekeliling yang menyokong dan teman tapi pengalaman ini, diri sendiri sahaja akan lalui.
“Sangat penting untuk ada ‘support system’,” katanya berkongsi.
Akui Sasya lagi dia pada mulanya turut merasa pelik dengan perubahan emosi yang dilalui sejak hamil.
“Kadang kadang akan rasa sangat beremosi ketika hamil. Perkara kecil pun boleh buat menangis.
“Entahlah, pelik juga,” tambahnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berpendapat perkara tersebut adalah normal bagi seorang wanita hamil yang mungkin disebabkan oleh perubahan hormon.
Terdahulu, Syasya dan suami, Nasrullah Mohd Sapie disatukan dalam upacara akad nikah pada 20 April lalu.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Dulu waktu kecil-kecil, pernah tak terdetik dalam hati bila dah kahwin dan ada anak, tak nak jadi garang macam mak kita?
Tapi… Bila kita dah meningkat dewasa, baru kita sedar mak kita garang bukannya saja-saja. Ada maknanya! Makna yang kita akan rasa sendiri bila melalui hari-hari kita. Kan?
Dalam ramai-ramai orang yang kita kenal dalam hidup, mak satu-satunya beri didikan yang terbaik dan penuh kasih sayang. Jom ikuti perkongsian dari Asyikin Md Isa ini.
——————————————————————————————————
Ada orang kata, dengan kanak-kanak ni tidak boleh garang-garang dan perlu berlembut dalam mendidik. Adakah ia betul atau sebenarnya ibu garang macam singa adalah cara didikan yang terbaik?
Peranan ibu bapa
Anda pasti pernah melihat situasi seorang ibu memarahi anaknya dan ketika itu pasti terdetik di hati anda, “Saya takkan garang dengan anak saya”, betul tak? Penulis juga pernah mengatakan begitu. Namun, situasinya berbeza sekarang, apatah lagi apabila perlu memikul tanggungjawab sebagai ayah dan ibu dalam masa yang sama.
Adalah normal untuk anak-anak melakukan perkara yang mungkin akan mengundang kemarahan anda. Mungkin itu adalah lumrah proses tumbesaran anak. Namun setiap individu yang bergelar ibu dan bapa sudah tentu mahukan yang terbaik buat cahaya mata mereka.
Ibu garang didikan terbaik
Biasanya anak yang membesar di bawah didikan ibu yang garang dipercayai dapat membesar menjadi individu yang lebih baik. Ibu adalah individu penting yang banyak mempengaruhi cara anak membesar. Malahan, tidak boleh dinafikan, kebanyakan anak akan lebih rapat dengan ibu berbanding ayah.
Disebabkan ini, ibu perlu mempunyai sisi ‘garang’ yang tersendiri. Ini tidak bermaksud anda tidak boleh langsung memanjakan si comel anda, tetapi segalanya perlu mempunyai had agar tidak naik lemak dan memijak kepala ibu. Dalam erti kata lain, ketegasan yang masih terkawal.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda terapkan di dalam diri anak-anak untuk menjadikan mereka sebagai individu yang lebih bertanggungjawab.
1. Maaf dan terima kasih
Sejujurnya bagi penulis, mengajar anak mengucapkan maaf dan terima kasih adalah perkara yang paling penting. Ia adalah perkara paling asas dalam mendidik anak-anak.
Ajarkan anak anda untuk memohon maaf apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan tidak kira kepada sesiapa. Ini dapat membantu mereka untuk menyedari tentang kesilapan mereka dan membantu untuk mengelakkannya daripada berulang.
Sebagai permulaan, didiklah si manja anda untuk mengucapkan terima kasih apabila menerima sesuatu. Ia boleh menjadikan mereka sebagai individu yang tahu menghargai pemberian yang diterima.
2. Lakukan secara sukarela
Tidak dinafikan, ada yang menggunakan cara memberi upah untuk menggalakkan anak-anak membantu melakukan sesuatu pekerjaan. Tetapi dalam masa yang sama, tindakan ini boleh membina satu kebiasaan, iaitu mengharapkan sesuatu balasan apabila melakukan sesuatu pekerjaan atau perkara.
Sebaiknya, cuba untuk mendidik anak melakukan sesuatu secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ajarkan mereka untuk membantu anda mengemas dapur atau membersihkan rumah.
Ini dapat melahirkan rasa belas kasihan dalam diri anak-anak dan dalam masa yang sama mengajar mereka untuk membantu individu lain dengan seikhlasnya. Mungkin pada permulaan, anak-anak anda sukar untuk melakukannya, tetapi jangan berputus asa.
3. Mengawal penggunaan media dan gajet
Antara kesilapan paling biasa dilakukan dalam aspek pendidikan anak-anak adalah memberikan kebebasan dalam penggunaan media, gajet mahupun internet. Malahan terdapat juga ibu bapa yang memberikan gajet untuk mendiamkan anak. Hakikatnya tindakan ini adalah salah.
Sebaiknya penggunaan media haruslah dikawal dan tidak membiarkan anak-anak menjadi terlalu obses dengan gajet. Amat disarankan untuk si manja di bawah usia 6 tahun, elakkan daripada mendedahkan mereka kepada penggunaan gajet dan media tanpa kawalan.
4. Rasai kegagalan
Penulis sendiri sebagai seorang ibu, sentiasa ingin mencuba membantu anak. Apabila si manja berdepan dengan situasi seperti sukar untuk melakukan sesuatu, naluri seorang ibu pastinya ingin menolong. Tetapi hakikatnya tindakan itu adalah sangat tidak baik untuk proses keyakinan diri anak.
Jika si comel anda tidak dapat membuat sesuatu, jangan terus menolong. Sebaliknya cuba untuk memberikan sokong kepada anak untuk mencuba dan tidak berputus asa. Masih gagal, bantu mereka dengan memberikan arahan atau menunjukkan cara yang betul.
Sekiranya, si manja anda membuat kesilapan, jangan terus memarahi mereka. Sebaliknya berikan sokongan untuk mereka melakukan yang lebih baik di masa hadapan. Ini kerana jika anda memarahi mereka, ia hanya menjadikan mereka takut untuk mencuba. Ingat, menjadi tegas tidak bermakna anda perlu sentiasa memarahi anak.
Garang tidak bermaksud tidak sayang
Menjadi ibu yang garang tidak bermakna anda tidak menyayangi anak-anak anda. Tetapi kerana rasa sayanglah anda harus bertegas untuk membentuk mereka menjadi ‘orang’ di masa hadapan.
Tidak salah untuk memanjakan anak, tetapi segalanya mempunyai had dan batasan. Jika ada yang mengatakan anda seorang ibu garang macam singa, tak perlu nak marah atau naik angin. Ini kerana anda lebih mengetahui apa yang terbaik untuk permata hati anda.
Nak jadi sebahagian dari ahli Keluargagader Club? Jom sertai sekarang juga di sini !
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Siapa sangka pelajar ini yang menjadikan ibu bapa sebagai inspirasi bagi megejar impian dalam hidup telah mengusik jiwa Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes sehingga menghadiahkannya tiket penerbangan kepada keluarga pelajar berkenaan.
Penuntut Diploma Pengajian Islam Dakwah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Rifqi Saipul Nizam, 18, berkongsi impian untuk membawa ibu, Mariam Daud, 44, dan bapanya, Saipul Nizam Jusof, 44 ke Makkah dalam sesi soal jawab di program Executive Talk bersama warga universiti berkenaan petang semalam.
Terdahulu, anak sulung ini merupakan orang pertama yang mengajukan soalan bertanyakan rahsia kejayaan dan sumber inspirasi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes. Namun tidak menyangka perkongsian ini memberikan rezeki yang tidak akan dilupakan seumur hidupnya.
“Saya tanya apakah inspirasi beliau hingga boleh membuka syarikat penerbangan. Saya turut kongsikan yang inspirasi saya adalah emak dan ayah, setiap hari saya tengok gambar mereka dan memasang hajat untuk bawa mereka berdua ke Mekah.
“Selepas habis sesi itu, Tan Sri panggil saya ke hadapan dan mengumumkan untuk menghadiahkan tiket penerbangan buat saya, emak dan ayah ke Mekah. Beliau mengatakan saya telah beri inspirasi dan membuatkannya gembira,” katanya.
Sumber dan gambar: Utusan Online
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.