4 Trik Pujuk Anak Suka Bawa Bekal Ke Sekolah!

Share

Bukan sesuatu yang pelik bila ada anak-anak kita di sekolah rendah terasa malas dan malu untuk membawa bekal ke sekolah. Tambahan pula bila kawan-kawannya tiada seorang pun membawa bekal makanan, ini lagi membuatkan mereka tidak akan pernah mahu berbuat demikian.

Namun sebagai ibu, tentu kita berasa geram bila mana anak berbuat demikian. Tambahan pula, tujuan kita menyiapkan bekal makanan bagi memastikan anak-anak dapat makan makanan yang berkhasiat.

Untuk tujuan itu, pelbagai jenis masakan telah ibu-ibu sediakan untuk tujuan memancing minat anak untuk membawa bekal ke sekolah. Jika cara ini tidak berjaya juga, jadi apa kata usahakan dengan 4 trik ini.  Jika berjaya pasti selepas ini anak-anak pula yang meminta untuk disediakan bekal untuknya. Jadi jom semak apakah caranya itu.

1. Sediakan botol air dan bekas makanan yang menarik.

Botol air dan bekas makanan bukan sahaja harus menarik tapi juga harus selamat. Pastikan ada label FREE BPA bagi bekas makanan plastik. Boleh juga beri yang berwarna warni atau ikut karektor kartun yang anak minat. Kalau ada beg comel khusus untuk bekas makananya lagi baik. Tak lah makanan tertumpah pada buku sekolah mereka.

2. Kadang-kadang bagi anak bawak lebih untuk kongsi bersama kawan

Bila anak susah sangat nak bawa bekal biasanya sebab dia nak makan dengan kawan dia. Apa kata  bekalkan lebih sikit makanan untuk hari itu. Pesan pada anak, makan dengan kawan-kawan. Pasti kawan-kawannya gembira sebab anda ingat mereka.

3. Biasakan bawa bekal ketika keluar. Jadikan contoh pada anak.

Kalau anda pergi membeli-belah ada tak bawak botol air minuman? Tak perlulah air masak pun nak beli sedangkan di rumah dah ada mesin penapis air berharga ribuan ringgit. Tunjuk contoh pada anak yang anda pun bawa bekal bila keluar.

4. Buat bekal bersama-sama anak

Jika waktu hujung minggu tidak ke mana-mana? Daripada semua tidur dan menonton tv apa kata anda ajak anak-anak buat aktiviti di dapur bersama-sama? Buat bebola daging atau ayam untuk kegunaan seminggu. Kalau rajin buat untuk dua minggu terus. Barulah anak bersemangat bawa bekal ke sekolah untuk beri kawan-kawan dia rasa bebola daging yang dia buat.

sumber : Narinar Dot Com