4 Pesanan Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood Perlu Ibu Bapa Praktis Jika Mahu Anak Dengar Kata.

Share

Tidak semua anak membesar dengan baik dan menuruti segala kata-kata ibu ayah. Apabila berhadapan dengan situasi sebegini, adakalanya boleh membuatkan ibu bapa pening kepala dan buntu bagaimana cara untuk mengatasinya.

Memulakan dengan kata-kata yang baik adalah kunci kepada segala kebaikan. Jom cuba ikut perkongsian oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dalam mendidik anak-anak di zaman ini. Ingatlah bahawa setiap kata-kata kita adalah satu doa!

Keluarkan Kata-Kata Baik

Sentiasa mengeluarkan perkataan yang positif buat anak-anak kita seperti anak bertuah, anak bijak, anak mama sayang, anak ayah sayang dan sebagainya. Elakkan sama sekali perkataan negatif buat anak kita ketika kita sedang marah. Takut dan dibimbangi kata-kata yang kita gunakan ini mustajab kerana ianya satu doa.

Tegur Dengan Baik

Tegurlah anak dengan penuh berhemah dan kasih sayang. Anak-anak adalah ujian dari Allah, buat ibu dan ayah bagi menilai kesabaran mereka dalam mendidik anak-anak. Jadi tegurlah mereka dengan baik, penuh berhemah dan kasih sayang. Gunakan perkataan yang paling baik dan nada lembut dalam menegur mereka.

Sentiasa Gunakan Nama Allah

Sentiasalah gunakan nama Allah dan Rasulullah. Sebagai contoh, “Anak ibu sayang Allah dan Nabi tak?” Kalau sayang Allah jangan tinggalkan solat dan jangan lawan cakap mak ayah sebab kita semua nak masuk syurga dan dapat syafaat daripada Allah SWT. Sentiasalah gunakan nama Allah dalam seharian bagi mendidik sifat mulia anak.

Banyakkan Berdoa

Kunci kepada segala kebaikan adalah berdoa kepada Allah SWT. Ibu dan ayah janganlah putus doa pada anak. Sentiasalah berdoa kepada mereka untuk terus menjadi anak yang baik, patuh pada ibu ayah dan menjadi anak yang terpuji.