Ulang tahun perkahwinan menjadi momen yang amat manis dalam perjalanan cinta pasangan suami isteri. Ia menjadi satu hari penting yang harus diingat dan diraih.
Imbau dan rasai momen manis pastinya kembalikan kasih sayang yang menyatukan pasangan selama hidup bersama.
Perkongsian Raja Permaisuri Agong Tengku Puteri Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Iskandar menerusi Instagram airtangan_tuakuazizah yang menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke 35 mengundang perhatian ramai warganet. Pasangan romantik ini sentiasa kelihatan mesra dimana jua ibarat di hari pertama melangkah ke alam perkahwinan.
“Majlis doa selamat dan shukur bagi menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke35M/36H . Alhamdulillah.”
“Semoga sentiasa dirahmati Allah s.w.t”
“Doakan kebahagian kami berdua berkekalan dari dunia hingga akhirat dengan penuh kasih sayang dan rahmat dari Allah S.W.T Insya Allah dan ameen.”
Hari ini 35 tahun yang lalu, menyatunya dua hati antara Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah dengan Tengku Puteri Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Iskandar. Majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja telah berlangsung di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, diikuti Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Istana Besar, Johor Bahru pada 19 Julai. Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pula menyusul pada 26 Julai.
Perkenalan baginda berdua bermula sejak mereka masing-masing berusia 13 dan 12 tahun daripada pertemuan di acara polo yang sering diadakan oleh keluarga Diraja Pahang dengan Johor, membawa sehingga ke peterana. Perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang itu menjadikan Tengku Azizah sebagai Tengku Puan Pahang.
Pada Julai 2019, Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.
Sepanjang usia sebagai suami isteri, pasangan Diraja ini dikurniakan sembilan orang cahaya mata; empat putera dan lima puteri.
Sumber: Instgaram istananegara & airtangan_tuakuazizah