30 Tahun Berumah Tangga Pasangan Ni ‘Bersanding’ Semula Macam Pengantin Baru!

Share

Hubungan suami isteri diakui memang banyak cabarannya, dan untuk mengekalkan keharmonian alam perkahwinan hingga hujung nyawa bukanlah mudah. Perlu pengertian, pengorbanan dan  keserasian di antara suami dan isteri.

Berkongsi detik bahagia buat puan Napisah  Noor, 56 dan suaminya Abdul Latiff Abdul Rahman, 56 sempena 30 tahun melayari bahtera rumah tangga, telah merakam gambar kenang-kenangan ala-ala pre wedding yang nampak begitu romantis sekali.

“Saya bukan mahu menunjuk bahagia tetapi apa yang dilakukan ini sebagai kenangan saya dan suami sempena 30 tahun melayari bahtera rumah tangga,” kata Napisah Noor.

Demikian respon Napisah apabila gambarnya bersama suami, Abdul Latiff Abdul Rahman, 56, tular di media sosial memakai busana pengantin berwarna peach merakam gambar kenangan ala ‘pre-wedding’ di Langkap, di sini, sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-30.

Memetik berita yang dikongsikan di myMetro, difahamkan gambar mereka mendapat perhatian warganet yang memberikan idea untuk sambutan ulang tahun perkhawinan nanti selain ramai yang turut mendoakan suami isteri berkenaan.

Napisah berkata, idea untuk merakam gambar itu daripadanya sendiri sebagai kejutan untuk suami sempena ulang tahun perkhawinan mereka ke-30 pada 12 November lalu yang juga hari lahirnya.

Kejutan Buat Suami

Menurutnya, dia mendapatkan khidmat jurusolek daripada anak angkatnya, Normaizatul Azawiyah yang membantu merealisasikan ideanya itu.

“Idea datang secara spontan dan hanya suka-suka saja untuk meraikan hari lahir dan ulang tahun perkhawinan kerana perancangan anak yang mahu membawa kami bercuti ke Port Dickson terpaksa ditunda.

” Saya kemudian meminta suami yang berkerja sebagai pemandu lori mengambil cuti dan kononnya mahu memberikan kejutan tetapi terpaksa memberitahu pada Rabu lalu kerana kami perlu mencuba baju pengantin,” katanya yang tinggal di Kampar ketika dihubungi, hari ini.

Kenangan Untuk Keluarga

Menurutnya, suaminya tidak menolak, malah menyokong apa dilakukan asalkan dia gembira dan suaminya bersama anak juga memberikan kejutan hadiah padanya.

“Saya suka bergambar berbanding suami dan dia juga jarang senyum ketika mengambil gambar. Sepanjang proses merakam gambar itu suami nampak gembira dan tersenyum, itu yang membuatkan anak-anak mengusiknya.

“Semua ini hanya untuk kenangan keluarga kami. Sementara masih ada masa bersama saya mahu manfaatkan dengan detik indah selagi ia tidak melampaui batas,” katanya.

Napisah berkata, ia juga mengembalikan memori ketika melangsungkan perkhwinan mereka dahulu dan anak juga gembira melihat mereka kembali menjadi ‘pengantin’.

“Anak-anak seronok dan tak sangka saya akan buat begini. Alhamdulillah, kami juga banyak mendapat respon baik selepas gambar tular di media sosial, ada tumpang gembira dan mahu mengikut idea ini,” katanya.

Sumber : myMetro