Macam-macam ragam penyewa sebenarnya yang perlu dihadapi oleh pemilik rumah. Ada yang bagus bayar on time seperti yang dijanjikan, ada pula yang perlu ditegur baru nak bayar. Malah ada juga yang jenis kaki minta tangguh bayar je!
Misalnya seperti yang berlaku pada seorang tuan rumah ini yang berdepan dengan masalah penyewa tidak bayar sewa rumah meskipun sudah tiga bulan. Disebabkan itu, dia kemudian memberikan notis awal kepada penyewa itu untuk keluar dari rumah tersebut tambahan pula dia ingin melakukan renovasi di rumah itu.
Menurutnya, penyewa itu tidak membayar sewa dengan alasan tidak mempunyai wang. Lebih menyakitkan hati, penyewa itu turut memberikan mesej balas kepadanya dalam bentuk hujahan agama untuk membela dirinya dan meminta pemilik rumah supaya ‘menghalalkan’ sahaja apa yang terjadi.
Menurut pemilik, rumah yang disewakan itu adalah kondominium dengan harga RM900 sebulan. Dia juga memberitahu harga sewa itu juga adalah jauh lebih murah kerana kawasan itu kebanyakannya mengenakan sewa sebanyak RM1200.
Difahamkan, pemilik rumah juga seakan redha dengan kerenah penyewanya itu dan hanya memintanya untuk keluar sahaja dari kondominium tersebut tanpa perlu membayar hutang tunggakan. Namun yang peliknya, penyewa itu masih lagi enggan keluar dari rumah tersebut malah memberitahu tindakan pemilik rumah itu akan menyusahkan dia.
Perkongsian itu dikongsi semula di laman Twitter seorang pengguna. Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen turut sama ‘panas hati’ melihat sikap penyewa itu yang langsung tidak rasa bersalah. Dalam masa yang sama, orang ramai turut meminta pemilik rumah mengambil tindakan undang-undang sahaja terhadap penyewanya yang masih degil untuk keluar dari rumahnya ini.
Sumber : Yusnizam Yusoff