Soal hati sukar dimengerti. Walau sudah berumahtangga 20 tahun, namun sekali hati tercuit dek penangan cinta orang ketiga, hubungan utuh selama ini akan goyah. Si isteri mula terfikir, di mana silapnya.
Perkongsian pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun mengenai ikatan perkahwinan dan hubungan bebas di tempat kerja menjadi antara bibit percintaan antara dua hati.
Jelasnya, andai hubungan mula dilanda badai, berusaha sebaik mungkin untuk selesaikan dengan cara terbaik dan penuh kasih sayang.
Malah ulasnya, ramai pasangan bahagia dan setia bukan kerana banyak melalui detik bahagia dan gembira, tetapi kerana berjaya menempuh satu demi satu ujian dan derita.
“Ujian rumah tangga bermula saat sah sebuah ikatan suami isteri sehingga ke akhir hayat kerana ia tidak bermusim tetapi sentiasa ada. Mungkin berpunca daripada pasangan, anak, ibu bapa, mertua atau apa sahaja yang ada disekeliling kita.
Apa yang dilalui oleh sahabat ini amat menguji hati, namun beliau seorang yang kuat kerana mampu bertahan dan memilih untuk mencari hikmah di sebalik ujian hebat ini. Lagi-lagi ketika usia perkahwinan sudah pun 20 tahun, mempunyai 8 cahaya mata, mereka saling menyayangi tetapi timbul perasaan suami cinta terhadap wanita lain.
Artikel Berkaitan
Tip / Petua
Sebenarnya wanita ini berjaya mengawal situasi dan emosi, memberi pertimbangan kepada suami dalam membuat keputusan dan melihat ujian ini sebagai hikmah yang disediakan oleh Allah SWT kepada beliau sekeluarga, suatu tindakan yang wajar dicontohi.
Benarlah kata beliau, kita manusia biasa, pasti akan bersedih dan kecewa apabila diuji dengan insan tersayang.
Ujian ini bertujuan menguatkan hambanya dengan dua perkara :
i) Mengingatkan hambaNya agar sentiasa meletakkan pergantungan yang tinggi hanya kepada Allah.
ii) Ikhtiar seseorang hamba dalam kembali berdoa kepadaNya bagi setiap masalah.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka peroleh kejayaan.”
(Surah al-Baqarah: 186)
Tuan puan,
Dalam pm inbox ramai yang berkongsi, terpaksa lalui cabaran yang sukar daripada keluarga. Kes curang yang pelik-pelik suami atau isteri, sumbang mahram, dera, cerai, dadah, pornografi dan sebagainya. Allahu Akbar… Ampuni dosa-dosa kami dan bantulah kami ya Allah.
Kerap kali perkara begini berlaku di belakang pasangan sama ada di tempat kerja, ketika sedang berurusan, tidak menjaga pandangan, terlalu bebas batas pergaulan. Bermula dengan bual kosong, kemudian saling berkongsi cerita lalu timbul rasa selesa, maka berakhir dengan malapetaka seperti yang dilarang agama.
Jika benar cinta, ia bukan pada ketika kamu suka dan bahagia sahaja, tetapi tetap sama walau sedang dalam ujian, derita dan terluka. Siang berganti malam, hujan berganti panas, cinta juga boleh berganti benci, saat hati sedang dilanda badai yang tak bertepi.
Ramai pasangan bahagia dan setia itu bukan kerana banyak melalui detik bahagia dan gembira, tetapi kerana berjaya menempuh satu demi satu ujian dan derita.
SubhanAllah, dia sedar bahawa semuanya bersifat sementara, masa akan berjalan, berubah bersamanya segala rasa. Sebab itulah lidah sangat penting dijaga, walau pelbagai ayat yang terbuku ingin dihemburkan, namun tetap ditahan, itulah satu kemenangan.
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ ۚ فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (pasangan) dengan baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
(Surah An-Nisa’: 19)
Pesanan kasih sayang buat semua pasangan, usaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan apa jua masalah rumah tangga dengan cara terbaik dan penuh kasih sayang. Tidak semua orang sekeliling bersimpati dengan nasib yang menimpa, ada yang turut merasa hiba, ada juga yang turut menambah racun perasa.
Saya sentiasa mendoakan sesiapa sahaja yang diuji dengan badai rumah tangga dipilih Allah untuk disatukan kembali hati. Walau peritnya ujian menimpa diri, tiada dendam tersimpan di hati, suami bangkit berusaha memperbaiki hubungan dan menjadi pemimpin sejati, si isteri pula menjadi seorang yang bijak membuat pertimbangan diri dan emosi. Ingatlah ada amanah anak-anak yang sentiasa perlu kita ingati.
Moga semua terus kuat dan bahagia sampai Syurga
Kredit : Ustazah Asma’ binti Harun
Mesti Baca :
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club