2 Hari Sebelum Aidilfitri, Anak Pergi Mengadap Ilahi. Tangisan Terakhir Berbeza..Tanda Mahu Pergi Buat Selamanya

Share

Dalam keterujaan mahu menyambut lebaran, segala persiapan disediakan walaupun anak yang dikasihi sedang sakit.

Namun luluh hati ini, bila semuanya sudah tersedia, anak pula pergi selamanya 2 hari sebelum Syawal menjelma.

Itulah yang dilalui oleh pasangan Shahrul Amri Ibrahim dan isterinya, Nurul Akma Abd Rashid meskipun pemergian anak mereka iaitu Allahyarham Muhammad Tariq sudah dijangka sejak dia dilahirkan.

“Kami memang memang sudah mengetahui keadaan Tariq (umur tak panjang) sejak dia dilahirkan kerana arwah disahkan menghidap jantung berlubang sejak lahir. Malah sepanjang empat bulan usianya selepas dilahirkan dia berada di dalam wad dan menerima rawatan.

“Doktor pun sudah sedia maklum yang jangka hayat anak saya tidak panjang.”

Keadaan kesihatan Tariq bukanlah asing dalam kalangan pengguna TikTok kerana bapanya itu sering berkongsi gelagat si kecil berkenaan menerusi platform tersebut.

Bercerita lanjut tentang berita duka itu, Shahrul berkata dia dan isteri bagaimanapun tidak menyangka anaknya akan menghembuskan nafas terakhir pada 20 April lalu iaitu pada usianya setahun 6 bulan.

“Tariq berada dalam keadaan baik sehingga Rabu (19 April). Sebab tu kami tak sangka keesokan harinya dia akan pergi selamanya,” luahnya hiba.

Menurut bapa berusia 27 tahun itu, anaknya meninggal dunia semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kampung halaman isterinya di Benut, Johor.

“Kami keluar rumah kira-kira pukul 7.05 pagi… pada masa ni dia tidak berhenti merengek (menangis).

“Setibanya di salah sebuah stesen minyak di Kajang, Selangor… isteri saya dapati Tariq sudah tidak bernafas,” ujarnya sambil mengakui tangisan anaknya pada pagi itu berbeza daripada kebiasaan.

Tambahnya, sejurus tiba di Hospital Kajang, doktor mengesahkan bahawa anaknya sudah meninggal dunia pada pukul 7.39 pagi.

Katanya lagi, jenazah Tariq dikebumikan di Rompin, Pahang iaitu kampung halamannya.

“Salam Lebaran daripada kami berdua. Tahun lepas raya bertiga, tahun ni berdua sebab Tariq dah beraya awal dekat syurga,” tulisnya ringkas.

“Tahun lepas kami dapat beraya bertiga tapi tahun ni hanya baju sahaja yang tinggal. Memang terasa kehilangan lebih-lebih lagi pada isteri yang sepenuh masa bersama Tariq.

“Pun begitu, dia terima dan reda dengan ketentuan Allah. Cuma saya bimbang keadaan dia yang kini sedang hamil anak kedua.

“Oleh itu, saya limitkan kerja dan memperlahankan sedikit perjalanan bisnes demi meluangkan masa bersama isteri,” katanya yang pernah tular melakukan tiga kerja sekali gus sejak bujang.