Melihat kebahagiaan pasangan suami isteri dalam rumah tangga orang lain pastinya buat kita rasa tumpang bahagia. Bagi yang tak kahwin, hati membuak-buak rasa nak kahwin. Yang sudah berkahwin pula rasa nak bertanya, apakah tip bahagia yang dimiliki mereka. Hebat.
Tapi hati kita tak sama. Jika kita melihat ketenangan dan kebahagian orang lain adalah kebahagiaan dalam diri kita tetapi ada hati-hati lain yang tidak suka, benci malah sakit hati melihat rumah tangga orang lain bahagia.
Inilah yang dikongsikan oleh pendidik ini, Cikgu Mohd Fadli Salleh yang berkongsi dua cerita rumah tangga, insan paling dekat dengannya. Jangan kita pernah sangka bahawa perkara ini takkan pernah berlaku dalam kehidupan kita. Berhati-hatilah.
Aku tak faham dengan manusia yang cukup dengkikan hidup orang lain ni. Kenapa nak dengki? Apa yang mereka dapat bila dengki?
Puaskah porak perandakan hidup orang lain. Bahagiakah melihat hidup orang lain musnah angkara fitnah kita? Seolahnya tak pernah fikir tentang dosa dan pahala. Seolahnya tiada syurga dan neraka. Seolahnya begitu bagi mereka.
Tinggi mana taraf kedengkian dan fitnah manusia kau pernah lihat? Atau pernah rasa, mungkin? Malam ini aku nak berkongsi dua kisah fitnah paling dahsyat pernah aku tahu yang melanda kawan-kawan aku.
Kisah pertama, seorang kawan baik aku. Dia baru sahaja kahwin masa tu. Masih belum dapat mencari rumah untuk tinggal bersama. Maka isterinya masih tinggal di rumah bujang bersama kawan-kawan, dan dia pun sama juga. Tinggal serumah dengan kawan-kawan bujang.
Rupanya, ada seorang di antara kawan-kawan dia ini dengki sangat melihat kawan tu dah kahwin. Entah kenapa dia dengki dan dendam sangat, aku pun tak tahu.
Sebelum itu hubungan mereka elok sahaja, sebaik kawan tu kahwin baru nampak jelas kedengkiannya.
Nak kata gay, mustahil. Kawan aku tu confirm straight.
Kau tahu apa si pendengki ni buat?
Masa kawan aku tidur, dia pergi curi telefon Nokia Butterfly kawan aku tu. Masa tu Nokia Butterfly ni tengah top la kiranya.
Senyap-senyap dia hantar mesej kat bini kawan tu. Kau tahu apa dia tulis?
“Abang ceraikan awak dengan talak tiga.”
Tak ke gila dengki sampai tahap tu. Bini kawan ni baca mesej terus menangis macam nak gila. Mana tak nya, baru sahaja kahwin beberapa bulan dah kena cerai talak tiga.
Dipendekkan cerita, terbongkarlah perbuatan pendengki ini. Sujud kat kaki terus si pendengki bila kawan aku nak belasah. Hanya kerana dengki, hampir hancur rumah tangga orang.
Aduh, baru satu cerita dah panjang berjela. Dem! Ah, lantakkan. Aku janji nak tulis dua cerita. Yang rajin baca, teruskan ya!
Minggu lepas, aku tulis pasal fitnah ini. Seorang sahabat lama terus pm aku dan bercerita. Ini kisah dia :
“Assalamualaikum shbt…
Ambe nak respon pasal post fitnah terhadap rumahtangga.
Hujung tahun lepas, ambe telah difitnah oleh seorang guru yang satu sekolah dengan isteri ambe. Fitnah yang dibuat berbunyi begini..” aku sebenarnya lama dah nak bagitahu kamu, tapi aku kesian sebab kamu dalam pantang. Aku jumpa suami kamu check in hotel dengan seorang perempuan dan mesti mereka berzina di sana.”
Si isteri tanpa usul periksa terus membawa anak-anak melarikan diri. Ambe ketika itu sedang mengikuti majlis ilmu di masjid. Apabila pulang daripada masjid, ambe dapati tiada orang dirumah. Ambe cuba tel isteri tapi xdapat. Ambe ingatkan isteri bawa anak2 pergi jalan2 shopping mall. Bila malam tiba, isteri dan anak2 masih xbalik. selepas solat maghrib,ambe terus pergi ke rumah mertua. Rupa2 nya anak dan isteri berada di sana. Isteri tidak lagi mahu berjumpa dan bercakap sepatah. Dipendekkan cerita, seminggu selepas itu, ada peguam menelefon ambe utk proceed perceraian. Ambe hadir ke mahkamah dengan harapan Allah selamatkan rumahtangga hamba. Sebelum ke mahkamah, ambe ada telefon kenalan jemaah yg juga bekas timbalan mufti, mohon didoakan dan solat hajat untuk rumahtangga ambe.
Alhamdulillah…Allah tunjukkan jalan keluar. Satu laporan polis telah ambe buat kerana melalui history call (bill hp) yg sampai kerumah tepat pada masanya mengandungi no telefon yang diragui dengan durasi masa sejam lebih. Melalui siasatan polis, pemilik kepada no berkenaan telah “memfitnah” ambe.
Pemilik no misteri itu telah dipanggil polis. Rupa-rupanya dialah dalang yang menyebarkan fitnah. Dia memohon maaf dan merayu supaya tidak membawa kes ke mahkamah. Dengan izin Allah, isteri pulang kerumah tanpa diduga dan memohon maaf kerana mempercayai fitnah yg di lemparkan kepada ambe. Syukur Alhamdulillah…sampai ke hari ni, ambe masih x proceed kes ke mahkamah.
Betapa dahsyatnya fitnah dan betapa Allah tu berkuasa membersihkan fitnah daripada ambe.????..Allah jualah sebaik2 penyelamat.”
Kau baca dan hadamlah sendiri. Betapa busuknya hati sang pendengki, dan betapa besarnya kerosakan akibat fitnah ini.
Menjadi pendengki itu seronoknya hanya sementara. Seronok sekejap bila lihat orang yang kita dengki jatuh. Itu sahaja.
Sebaik mereka bangkit, mereka akan bangkit dengan lebih gagah dan semangat lagi. Dan kau, terus begitu membawa hati yang busuk penuh kedengkian.
Satu masa, pasti Tuhan membalas segalanya.
Semoga kita semua dijauhi dengan mereka yang bersikap iri, dengki dan suka memfitnah ini. Amin.
#MFS
– Dua kisah di suatu malam –
Kredit: Mohd Fadli Salleh.