17 Tahun Simpan Rahsia Kena Gangguan Seksual Fizikal. Wanita Ini Kongsi Kisah Benar Terjadi Pada Diri Sendiri.

Share

Gangguan seksual adalah salah satu perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain. Kebiasaannya perlakuan ini memberi impak kepada mangsa.

Sejak akhir-akhir banyak laporan mendedahkan kanak-kanak mengalami gangguan seksual fizikal. Lebih menyedihkan mangsa tidak segera melaporkan sebaliknya ia dibiarkan lama berlaku.

Menyedari keadaan ini semakin menular di kalangan masyarakat secara ‘senyap’ , ibu bapa perlu mendedahkan kepada anak-anak apa itu yang dikatakan gangguan seksual.

Malah ini lah yang berlaku kepada puan Maryam Jamadi yang membuat mendedahkan bahawa dirinya turut melalui situasi itu.

Menurutnya ketika dihubungi Majalah Keluarga, beliau mengakui menyimpan rahsia menghadapi ganguan seksual fizikal selama 17 tahun. Malah ibu bapanya tidak mengetahuinya sehingga didedahkan di facebook.

“Dah 17 tahun simpan. Bila baca kes baru-baru ini tentang ugutan rogol baru terdetik nak share. Masa saya post kat fb baru mak ayah dan family saya tahu . Memang tak pernah buka cerita

Ikuti lanjut kisah benar yang didedahkan menerusi facebook milik beliau. Ibu kepada dua orang anak ini berharap kisahnya menjadi pengajaran agar ibu ayah lain alert dan mendedahkan kepada anak-anak mengenai ilmu mengenai gangguan seksual. Malah pendedahan ini mendapat keizinan suaminya dengan tujuan bermanfaat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

TERDETIK BUAT PEDEDAHAN EKORAN KES GANGGUAN SEKSUAL MAKIN MENINGKAT

Nak post ini pun fikir berjuta kali. Saya pasti sebenarnya ramai mangsa yang pilih untuk berdiam diri sebab takut dengan pandangan orang lain. Tapi realitinya, semakin kita lama diam semakin ia memakan diri sendiri. Saya doakan semoga semua mangsa-mangsa diberi keberanian untuk menceritakan pada pihak yang sepatutnya dan dapatkan keadilan.
Semoga anak-anak kita semua dilindungi.

MINTA DIRAHSIAKAN 

“Tolong rahsiakan perkara ini dari mak ayah Maryam ya”

Walaupun perkara ini berlaku masa saya umur 12 tahun, ayat ini masih terngiang-ngiang di ingatan saya.

Rasa menyesal kenapalah tak beritahu sahaja mak ayah saya perkara ini dulu yang saya kena gangguan seksual fizikal dengan Pak Guard (pengawal keselamatan sekolah), masa saya darjah 6.

Sampai sekarang saya ingat dengan jelas apa yang berlaku dan ada beberapa orang saksi. Waktu itu memang “blur” sebab tak tahu apa yang saya patut buat.

Kawan-kawan saya yang paksa saya pergi jumpa Guru Besar sekolah untuk beritahu hal yang terjadi, sebab mereka nampak apa yang terjadi. Tapi nak tahu apa yang Guru Besar cakap?

“Kami akan pindahkan Pak Guard tersebut, tolong rahsiakan perkara ini dari semua orang termasuk mak ayah Maryam ya”

MENYESAL RAHSIAKAN DARIPADA IBU AYAH

Saya rasa bodoh sangat waktu itu rahsiakan perkara ini dari mak ayah.
TOLONGLAH saya merayu kepada semua orang dewasa termasuklah GURU, MAK AYAH, POLIS atau PENJAGA. Tolong “fight” untuk anak atau anak murid!
Bukan senang untuk mangsa nak buka mulut cerita.

Selepas kejadian itu, hari-hari saya pergi sekolah dengan perasaan tak selamat.
“Macam mana kalau Pak Guard berdendam dengan aku?”
“Aku dahlah hari-hari jalan kaki seorang diri pergi balik sekolah, macam mana kalau dia buat apa-apa sebab nak balas dendam aku report cikgu?”
Pernah sampai terfikir takut Pak Guard bunuh satu keluarga saya. Saya nak keluar rumah pun takut. 

Bila masuk sekolah menengah, saya jadi takut dan tak rasa selamat dengan semua lelaki. Risau diapa-apakan dan risau kejadian sama berulang.

Semua ini saya rahsiakan dari mak ayah saya sebab ikut sangat cakap Guru Besar. Rasa bodoh sangat diri ini. Hari-hari pendam perasaan.

Sekarang ini pun saya menulis dengan linangan air mata. Sedih yang tak terungkap sebab tak dapat membela diri. Iyalah, apa yang nak diharapkan dengan budak 12 tahun? Beritahu Guru Besar pun, macam kita pula yang buat salah. 😷
Setakat pindahkan si pelaku ke sekolah lain, ancaman kepada mangsa masih ada. Lepas itu, boleh jamin ke di pelaku tak buat dekat orang lain? Masih nak fikir periuk nasi si pelaku?
Habis itu emosi dan kesihatan mental di mangsa macam mana?

IMPAK

Hari ini bila terbaca post dari Syed Azmi tentang seorang ayah yang sedang “fight” untuk anak perempuan beliau.
1. Guru PJK buat lawak lucah.
2. Anak dapat ugutan rogol dari kawan sekolah.
3. Beritahu guru kaunseling, anak yang kena terapi sebab terlalu sensitif?
4. Si ayah buat laporan polis.
5. Kawan sekolah tak puas hati sebab mencemarkan nama sekolah?

Bukankah nama sekolah lagi tercemar bila pihak sekolah cuba sorok kes ini dari cuba beri tindakan yang sepatutnya pada guru tersebut?

Maaf, bila saya sebut “guru”, saya harap para guru tidak terasa sebab saya mengecam tindakan guru terlibat bukan profesion guru.

Yang salah tetap salah, profesion tak salah, sekolah tak salah. Orang tak marah dengan profesion atau sekolah tapi orang marah bila pihak sekolah tak ambil tindakan yang sepatutnya pada guru tersebut.

Saya tak mahu ulas lagi tentang kes ini sebab tak dengar dua pihak dan kes ini juga dalam siasatan polis cuma saya harapkan keadilan pada pihak yang benar.
Dah tahun 2021 ini ada lagi ke nak salahkan mangsa? Mangsa pakai seksi? Mangsa terlalu sensitif?

TOLONGLAH, yang bertutup litup pun boleh jadi mangsa. Yang salah tetap salah, saya ulang. Jangan nak menormalisasikan jenayah.


Saya pasti ada sesuatu yang perlu diubah, guru yang ada sejarah melakukan JENAYAH tidak layak jumpa anak murid lagi.

GANGGUAN SEKSUAL:
1. Lisan
2. Secara isyarat
3. Visual
4. Psikologi
5. Fizikal

DEDAHKAN ANAK GANGGUAN SEKSUAL SEAWAL UMUR 3 TAHUN
Saya merayu pada semua mak ayah untuk beri pendedahan pada anak masing-masing tentang gangguan seksual seawal anak umur 3 tahun. Sentiasa ingatkan dan minta anak beritahu tak kiralah anak perempuan atau lelaki. Mak ayah dan guru adalah “frontliner” anak-anak.

Bila dapat aduan dari anak, mohon buatlah sesuatu. Walaupun bukannya si pelaku akan dipenjara seumur hidup pun tapi sekurang-kurangnya anak tahu ada mak ayah/guru di belakang mereka. Mereka bukan seorang diri.

Pedofilia di mana-mana, semoga anak-anak kita semua dilindungi Allah. ❤❤❤
Nanti saya kongsikan tentang perkembangan seksual dan cara untuk beri pendedahan pada anak di post akan datang.
Alhamdulillah, rasa lega dah lepaskan semua yang terpendam selama berbelas tahun saya simpan rapi.

Benci pihak yang betulkan apa yang salah

Sumber: Maryam Jamadi