Bagi yang sudah mendirikan rumahtangga, seharusnya kita kena adil dalam apa juga keputusan atau apa-apa perkara yang mahu dibuat lebih-lebih lagi ia melibatkan keluarga pasangan kita.
Perkahwinan bukan sahaja penyatuan di antara kita dan pasangan tetapi menyatukan juga keluarga kedua-dua belah pihak. Oleh yang demikian, persefahaman dan tolenrasi haruslah wujud demi keharmonian rumahtangga.
Sememangnya tidak dapat dinafikan, setiap kali tibanya Hari Raya, hati membuak-buak untuk menyambutnya bersama keluarga seperti zaman bujang dahulu. Namun apabila sudah berkahwin, keputusan haruslah dibuat atas persetujuan bersama. Oleh yang demikian, ramai pasangan membuat sistem bergilir.
Namun tular satu ciapan dari seorang wanita yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga namun sejak itu, dia tidak lagi dapat menikmati Hari Raya bersama keluarga tercinta.
Menurutnya, sejak berkahwin dia berdepan dengan kemelut keangkuhan suaminya apabila dipaksa untuk beraya bersama keluarga mentuanya di Kedah.
Dia juga diugut bakal jatuh talak sekiranya mengingkari permintaan untuk pulang ke kampung halaman suaminya.
“Tolong saya, tentang isu balik raya je pun. Suami saya kata kalau saya berkeras nak balik rumah mak untuk raya pertama, akan jatuh talak.
“Untuk pengetahuan, dah 14 tahun saya kahwin, tak pernah raya pertama dengan family saya. Padahal family saya di Kuala Lumpur je, kami duduk di Ampang.
“Apa salahnya kali ni singgah raya sekejap rumah mak saya, lepas tu balik ke kampung dia (suami) di Kedah.
“Saya teringin sangat nak beraya dengan family saya,” kata wanita itu kecewa.
Wanita ini turut mengatakan terdapat masuk campur dari ibu mentuanya yang kerap meletakkan tekanan pada suaminya untuk pulang ke kampung di Kedah.
“Mak mentua saya kata, kalau anak-anak dia raya pertama tak balik kampung, mereka dikira sebagai anak derhaka.
“Saya sedih yang tak terkira ni. Saya cakap dekat suami, kali ni je untuk Raya Aidilfitri nak balik rumah mak saya.
“Raya Haji nanti boleh balik Kedah saya okay. Tapi suami tetap berkeras. Saya rindu suasana raya dengan family saya,” kata wanita itu menutup luahan.
Berikutan ciapan tersebut tular, ramai warga maya memberikan pendapat mengenai perkara ini.
“Ibu mertua pun tak ada belas ihsan. Kita mestilah tahu menantu kita ada family juga. Selalunya orang buat giliran. Lagi satu, sebagai seorang mak, tak boleh main-main cakap anak derhaka.
Dah 14 tahun dia bersabar. Selfish sangat tu. Sekarang dah terlambat. Mereka yang masih fasa bercinta, sebelum kahwin tu, tanya siap-siap balik raya macam mana.
“Bergilir atau rumah mak awak je setiap tahun. Aku yang dah cerai ni pun anak-anak boleh bergilir turn raya rumah ibu atau ayah.
“Pada saya biarlah jatuh talak pun, suami boleh diganti, mak hanya seorang yang tiada gantinya,” kata sebahagian warga maya.
Kepada setiap pasangan, diharap dapat membuat keputusan yang sama-rata agar tidak berat sebelah. Semoga Hari Raya ini dapat meleraikan segala kekusutan wanita ini dan juga yang menghadapi masalah yang sama.
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club