
13 pelajar UNITAR dapat Perodua Axia sempena kempen pengambilan pelajar baharu semester Januari 2025. Kumpulan Pendidikan UNITAR baru-baru ini telah mengadakan satu majlis istimewa di Kampus Induk UNITAR untuk meraikan pencapaian 13 pelajarnya yang terpilih.
13 Pelajar UNITAR Dapat Perodua Axia Sempena Kempen Pengambilan Pelajar Baharu Semester Januari 2025
Dalam acara yang penuh meriah itu, setiap pelajar menerima sebuah kereta baharu Perodua Axia 1.0L X lengkap dengan pendaftaran jalan raya (OTR) selama setahun.
Majlis ini merupakan penutup kepada kempen khas sempena pengambilan pelajar baharu bagi semester Januari 2025, yang bertujuan menghargai kesungguhan pelajar dalam menyambung pelajaran ke peringkat tinggi serta penglibatan mereka dalam program rujukan dan pengambilan pelajar baharu UNITAR.
Daripada 13 pemenang yang diraikan, 12 orang mewakili kampus-kampus UNITAR di seluruh negara, manakala seorang lagi dipilih melalui inisiatif “Student-Get Student”, iaitu program rujukan pelajar oleh pelajar.
Menurut Datuk Puvan Balanchandran, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan UNITAR, acara penghargaan ini merupakan simbol terima kasih institusi kepada para pelajar yang memilih UNITAR sebagai tempat menimba ilmu.
“Kami di UNITAR sentiasa komited untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang memberi kesan, menginspirasikan serta menarik minat pelajar. Majlis ini adalah penghargaan kami kepada pelajar yang memberi kepercayaan kepada UNITAR dan untuk menyambut permulaan perjalanan akademik mereka,” jelas beliau.
Datuk Puvan turut menambah bahawa inisiatif seperti ini mencerminkan aspirasi UNITAR untuk memberi impak yang lebih luas kepada pelajar, bukan sekadar dalam bentuk pendidikan tetapi juga dalam memperkasakan kehidupan mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial UNITAR, Timothy Johnson, berkata pihaknya sentiasa mencari pendekatan yang kreatif dalam menghargai penglibatan pelajar sambil menekankan pentingnya pendidikan.
“Kami komited dalam mencari cara inovatif untuk menghargai usaha dan penglibatan pelajar. Melalui insentif seperti ini, kami mahu membentuk komuniti pelajar yang aktif dan bersemangat untuk terus melanjutkan pelajaran,” katanya.
Majlis anugerah ini menegaskan komitmen UNITAR dalam menyediakan pendidikan yang inklusif, berpatutan dan memberi impak jangka panjang, sambil membuka peluang yang melangkaui bilik kuliah untuk para pelajar.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Pelajar Cemerlang Perakaunan Meninggal Dunia, Aysar Zahran Pelajar No. 1 Malaysia, No. 2 Dunia
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my