Membina sesebuah rumah tangga yang harmoni sangat diimpikan oleh semua pasangan lebih-lebih lagi apabila dikurniakan rezeki yang tidak putus-putus.
Ada antara mereka yang menganggapnya sukar dicapai kerana memasuki alam perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Perlukan penyertian dan pengorbanan yang tinggi dari semua sudut malah faktor kewangan sangat memainkan peranan utama dalam perhubungan.
Namun jika suami isteri istiqomah melaksanakan perintah Allah SWT, insya allah mencurah-curahlah rezeki yang datang.
Untuk memastikan rezeki dalam hubungan suami isteri mengalir dengan mudah dan melimpah ruah, pastikan anda dan pasangan melakukan amalan ini.
1. Niat Berkahwin Kerana Alllah
Berkahwin merupakan salah satu pintu rezeki kerana ia mampu menyatukan hati dua insan dalam satu tujuan iaitu mencapai keredaan Allah SWT. Jika ingin rumah tangga anda terus mengalirkan rezeki yang luas, ikhlaskan niat anda dan pasangan berumah tangga kerana Allah SWT.
2. Sentiasa Menggembirakan Pasangan
Tarikan utama rezeki dalam rumah tangga bergantung kepada suami dan isteri itu sendiri. Sentiasalah bermesra dan menggembirakan pasangan agar hubungan yang terjalin bertambah bahagia serta saling hormat-menghormati lantas mengundang rezeki yang banyak dalam rumah tangga.
3. Banyakkan Bersedekah
Amalan bersedekah tanpa mengharapkan balasan sememangnya digalakkan dalam Islam kerana amalan terpuji ini mampu menambahkan rezeki. Apabila kita meringankan bebanan orang lain yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan melipatgandakan rezeki dan memberikan kesenangan dalam kehidupan harian kita.
4. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Berbuat baiklah dengan orang tua dan jangan sesekali menderhaka kepadanya selain jangan bersikap kedekut dengan mereka.
Sabda Rasulullah SAW:
‘Siapa berbakti kepada ibu bapanya, maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.’ (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Sabda Rasulullah SAW:
‘Apabila hamba itu meninggalkan doa untuk kedua orang tuanya, nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.’ (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
5. Ramaikan cahaya mata.
Kehadiran cahaya mata merupakan nikmat bagi setiap pasangan yang telah berkahwin. Ini kerana anak boleh diibaratkan sebagai tali pengikat yang dapat menguatkan lagi hubungan suami isteri.
6. Jangan Berkira / Kedekut Belanja Isteri
Dalam rumah tangga tidak boleh ada sifat kedekut sesama pasangan. Jika mahu menggandakan rezeki, suami janganlah kedekut membelanjakan isteri. Nescaya apa yang dibelanjakan itu akan digantikan Allah dengan rezeki yang berlipat kali ganda.
7. Gunakan Bahasa Lembut Dan Panggilan Manja
Percayalah dengan menggunakan bahasa yang lembut dan mesra apabila berkomunikasi dengan pasangan mampu membuatkan rezeki terus mengalir. Tentu sahaja pasangan akan rasa lebih tenang dan bahagia jika dipanggil dengan panggilan manja ataupun menggunakan bahasa lembut sekali gus membuatkan ikatan suami isteri bertambah erat.
8. Tenangkan Hati Isteri Ketika Resah
Seorang suami yang baik pasti mampu memahami sisi emosi seorang isteri apabila isteri dilanda masalah. Ini kerana isteri yang jiwanya sentiasa tenang akan memancarkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap suami tanpa berbelah bagi.
9. Cium Dan Peluk Isteri Sebelum Keluar Rumah
Apabila keluar rumah, cium dan peluklah isteri sebagai tanda suami menghargainya sebagai insan teristimewa. Amalan ini akan memberikan aura positif bukan sahaja dalam diri seorang isteri sepanjang hari tetapi juga memberi semangat untuk suami mencari nafkah yang lebih banyak buat keluarganya.
10. Salam Dan Cium Tangan Suami Sebelum Keluar Rumah
Begitu juga buat isteri, tingkatkan rezeki dalam rumah tangga anda dengan bersalaman dan mencium tangan suami sebelum suami keluar rumah. Amalan ini menunjukkan yang anda reda serta menghargai suami yang bertungkus lumus mencari sumber rezeki untuk anda dan anak-anak.
11. Bergurau Senda Sebelum Tidur
Hubungan suami isteri akan bertambah erat dan penuh warna-warni apabila adanya gurau senda dalam rumah tangga. Sebelum melelapkan mata, curilah masa untuk bergurau senda dengan pasangan, mudah-mudahan rezeki anda berdua akan sentiasa dimurahkan.
Semoga amalan-amalan ini dapat kita lakukan setiap hari dan jadikan sebagai rutin dalam kehidupan. Moga ianya bermanfaat.
Artikel Berkaitan
Tip / Petua
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club