10 Tahun Berjauhan Dengan Isteri & Keluarga, Hisyam Hamid Nafi Hubungan Goyah!

Share

Pelakon, Hisyam Hamid, 38, masih melalui fasa kehidupan rumah tangga yang bahagia bersama isteri, Rosmawati Hanafi atau mesra disapa Melrose dan anak-anaknya walaupun mereka ‘dipisahkan’ negara.

Hisham yang juga pelakon Singapura ketika ditemui berkata, isterinya sangat memahami dan sehingga kini kemesraan dalam lakonan bersama pasangan pelakonnya tidak pernah menjadi masalah utama dalam hubungan rumah tangga mereka.

“Alhamdulillah, tahun ini dah 10 tahun saya berlakon dan tinggal di Malaysia. Mel pun sangat faham dengan kerjaya saya dan dia juga tahu setiap pelakon wanita yang bekerja dengan saya.

“Ibu saya tak nak pindah ke sini, anak-anak masih bersekolah di Singapura. Setakat ini, memang tak pernah jadi masalah utama dalam hubungan kami yang mengaitkan saya dengan pelakon wanita di lokasi. Saya bekerja secara profesional.

“Cuma, saya tak nafikan sekarang kurang berkongsi foto keluarga di media sosial. Ini kerana saya sudah tidak aktif di media sosial, mungkin faktor usia. Saya sibuk dengan kerja, penat dan tiada masa nak selalu update (kemas kini),” katanya kepada Harian Metro.

Hisham berkata, memandangkan dua anaknya semakin membesar membuatkan dia memilih untuk lebih berkongsi mengenai kerja saja di media sosial berbanding keluarga dan peribadi.

“Anak sulung saya pun akan ambil peperiksaan O Level tahun ini. Jadi, apabila anak dah besar, dah lain. Kalau dulu, masa kecil orang tengok pun comel, tapi sekarang mereka dah semakin membesar dan saya fikir ada baiknya simpan sedikit untuk diri saya saja.

“Saya pun sangat sibuk dengan kerja hingga masa untuk diri sendiri tiada. Jadi, kalau ada sedikit kelapangan masa itu memang saya luangkan dengan anak-anak yang ketika ini meningkat remaja dan cabaran sangat berbeza,” katanya.

Ditanya bagaimana dia berhadapan dakwaan cuba mengaitkan rumah tangganya tidak bahagia, Hisham berkata, dia teruskan kehidupan macam biasa kerana hubungannya dan isteri memang tidak bermasalah.

“Saya lalui kehidupan harian seperti biasa. Hubungan kami tiada masalah pun. Sesiapa yang memang betul-betul ikuti saya di Instagram pasti tahu situasi sebenar,” katanya.

Hisham berkahwin dengan Rosmawati pada 2006. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak, Nurish Syameliah, 16, dan Haydeen, 14.

Sumber : Harian Metro