Kek antara juadah yang menjadi hidangan wajib di pagi raya. Jadi kenalah sediakan kek yang enak dan sedap untuk tetamu yang berkunjung. Namun adakalanya kek yang disediakan kurang menjadi, bantat atau kurang enak rasanya.
Bagaimana memastikan kek jadi cantik dan menjadi seperti kek-kek hebat lain. 9 perkara ini patut anda tahu.
Resipi Kena Tepat
Ini paling penting. Kek sememangnya agak sensitif jika tidak kena dengan gabungan dan sukatannya. Jadi resipi yang anda dapat kenalah tepat. Petua paling senang untuk anda ikuti adalah melihat jenis resipinya. Jika ia menggunakan gram, maka timbanglah mengikut gram. Begitu juga dengan menggunakan sukatan cawan. Jangan cuba mencongak sendiri, bimbang sukatannya salah. Bila salah kek pasti tak menjadi.
Kena Ayak
Jangan malas atau cuba nak buat eksperimen sendiri dengan resipi kek. Bahan-bahan kering membuat kek haruslah diayak terlebih dahulu. Tepung gandum, serbuk penaik dan soda bikarbonat hendaklah diayak bersama-sama. Ini bagi memastikan kek lebih gebu dan ringan serta lebih sekata. Malah cara ini juga mengelakkan kek rasa pahit kerana soda yang tidak sekata.
Ikut Aturan
Ikutlah aturan yang diberikan di dalam resipi satu persatu. Kaub dan balikkan adunan ketika bahan kering dimasukkan. Paling penting adalah mengacau adunan dengan satu arah sahaja. Malah adunan janganlah sentiasa dikacau. Ini bagi mengelakkan kek yang agak mampat dan tidak gebu. Cukuplah sekadar tepung sebati dengan adunan mentega.
Loyang Dilenser
Loyang perlulah dilenser dan disalutkan dengan tepung terlebih dahulu supaya kek lebih mudah dikeluarkan selepas membakar. Jika suka anda boleh juga menggunakan kertas aluminium untuk memudahkan kek di tanggalkan daripada loyang.
Panaskan Ketuhar
Bukan sekadar suka-suka tetapi ketuhar anda haruslah dipanaskan terlebih dahulu sebelum memasukkan kek ke dalam ketuhar. Sebaiknya panaskan seketika dalam anggaran 15 minit sebelum memasukkan kek. Ini bagi memastikan kek yang tersedia tidak bertindak balas dan rosak dengan suhu. Jadi kena panaskan.
Sediakan Air Kukusan
Jika kek itu perlu dikukus, panaskan air kukusan terlebih dahulu dan sebaiknya tutup kukusan dengan kain bersih. Ini bagi memastikan wap tidak akan menitis diatas kek. Anda boleh juga menutup loyang kek dengan aluminium foil.
Uji Kek
Untuk menguji samada kek telah masak ataupun tidak, sama seperti tip lain, gunakan lidi atau garfu untuk mengguji jika kek telah masak. Cucuk di bahagian tengah kek secara menyerong. Jika sudu licin dan tiada sebarang kesan, itu bermakna kek telah pun masak.
Jangan Buka Ketuhar
Kek yang sedang di bakar atau dikukus tidak boleh di buka pintu ketuhar atau penutup kukusan pada tempoh 45 minit pertama proses memasak. Ini untuk mengelakkan proses kejadian kek. Jadi, jangan sesekali membukanya.
Biar Kek Sejuk
Selepas kek masak, sebaiknya biarkan sejuk seketika. Jangan sesekali mengeluarkan kek daripada loyang selepas dikeluarkan daripada ketuhar. Ini penting. Beri masa kepada kek untuk sesuai dengan suhu bilik.
Kongsi Tip
* Pilih bahan yang baru, segar dan bermutu.
* Biarkan bahan dalam keadaan kering pada suhu bilik, terutamanya untuk telur dan mentega.
* Pukul mentega dan gula dengan kelajuan sederhana sehaja.
* Tambahkan telur satu persatu ke dalam adunan sambil mengacau selama 3 hingga 4 minit untuk setiap butir telur.
* Tepung harus dimasukkan secara berperingkat, sedikit demi sedikit.
* Kacau adunan dengan gerakan satu arah sahaja supaya menghasilkan kek yang ringan dan gebu.