Secara umum, ketika seorang wanita sedang haid atau nifas tidak diperbolehkan untuk berpuasa, solat dan membaca al-Qur’an dan menyentuhnya. Lebih sedih apabila ia berlaku ketika pada 10 hari terakhir Ramadhan. Ketika ini seluruh umat Islam mengandakan ibadah dan menghidupkan malamnya dengan berbagai amalan ibadah.Namun ia sebaliknya bagi wanita yang mempunyai haid pada malam Ramadhan.
Menerusi perkongsian ini wanita tidak perlu rasa sedih. Walaupun tidak boleh melakukan ibadah tetap boleh menggandakan pahala ketika ini.
IKUTI PERKONGSIAN INI.
“ASAL SEPULUH MALAM TERAKHIR, AKU MESTI TERLEPAS. MENGAPA ENGKAU DATANG PADA WAKTU INI ?”
Kekadang kita wanita merasa seperti ada “diskriminasi” dalam agama ini. Mungkin tidak di mulut kita, namun ia berbisik di hati kita, lalu mempengaruhi tindak tanduk kita para wanita.
Seolah-olah agama dan “keberkatan” ini sentiasa memenangkan kaum lelaki. Termasuk keberkatan malam Lailatul Qadar, ia ternyata bukan milik wanita yang didatangi haidh ?!
Siapa mengatakan demikian rupa ?
Ketika Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 mengenai Ramadhan sebagai bulan diturunkan al-Quran (malam al-Qadar), ayat yang sama juga Allah SWT menyebut tentang mereka yang sakit dan bermusafir serta rukhsah yang diberikan.
Tidak dipisahkan frasa mengenai kelebihan Ramadhan dengan frasa mereka yang sakit melainkan disatukan dalam satu ayat 185 berkenaan, seolah-olah menunjukkan ada sahaja rahmat Allah dan peluang memperolehi pahala malam Lailatul Qadar meskipun kepada mereka yang ma’zurah seperti wanita yang didatangi haidh.
Rasulullah SAW juga memberikan khabar gembira.
LIHAT hadis sahih dari Imam Bukhari (hadis 2996) bahawa Allah Yang Maha Pengasih akan mencatatkan pahala penuh kepada mana-mana hamba-Nya – lelaki atau wanita – yang ditaqdirkan sakit ketika mereka mahu menunaikan sesuatu ibadah yang sudah sering kali mereka melakukannya selama ini.
Yang diperlukan oleh seorang wanita yang uzur hanyalah bangunkan dirinya dari lena dan pasangkan niat yang bersungguh, penuh tekad dan keazaman, seolah-olah dia benar-benar mahukan amalan itu dilakukan seperti dia melakukannya secara konsisten sebelum ini, namun kerana Allah SWT jua yang melarang kerana keuzuran itu, maka hamba itu tidak melakukannya kerana Allah SWT.
Bergembiralah wahai wanita dengan keadilan Allah SWT, yang membuktikan inilah satu-satunya agama fitrah, memahami fitrah wanita!
Kita mungkin kecewa dan sedih dengan keghairahan kaum Muslimin dan kaum suami beribadah lebih dari kita di malam Al-Qadr, namun kita jangan sekali-kali bersangka kurang baik pada sistem penilaian amalan di sisi Allah SWT sendiri.
Banyak atau sedikit kuantiti amalan bukanlah ukuran. Yang dinilai Allah adalah kualiti keikhlasan.
LIHAT hadis hasan sahih dari Al-Tirmidzi (hadis 3513) dan Ibnu Majah (hadis 3850), tanya satu soalan, bukankah Aisyah r.a yang bertanya soalan ini sudah pasti pernah hadir atau akan hadir satu ketika di mana beliau menyaksikan Lailatul Qadar itu berlaku sedangkan beliau sendiri didatangi keuzuran syar’ie ?
Namun kita semua tahu ucapan Rasulullah sendiri “direct” kepada Aisyah tanpa meletakkan sebarang pengecualian kepada kaum wanita di malam itu.
Nabi bersabda kepadanya : “Ucapkanlah, ‘اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي’
LIHAT hadis sahih dari Imam Bukhari (hadis 2024) dan Imam Muslim (hadis 1174), tanya satu soalan, mengapakah hadis itu merakamkan Rasulullah SAW membangunkan kesemua ahli keluarganya pada 10 malam terakhir ?
Bukankah isteri-isteri baginda, yang sihat mahupun yang uzur, termasuk dalam kategori “ahli” yang dibangunkannya ?
Adakah nas hadis berkenaan menyatakan ada yang dikecualikan dari dibangunkan Rasulullah ?
Sesungguhnya ganjaran amalan 1000 bulan bukan hanya terbatas pada amalan berbentuk solat dan qiam sahaja.
Janganlah disempitkan makna ibadah dan makna menghidupkan malam-malam Ramadhan itu.
Wanita yang haidh yang “dibangunkan” Allah di malam Al-Qadar boleh berzikir dengan pelbagai jenis zikir, berselawat kepada Nabi SAW, membelek tafsir al-Quran, bersedeqah dan pelbagai lagi yang diizinkan syara’.
Bukankah berzikir kepada Allah SWT tidak mensyaratkan wanita bersih dari haidh ?
Bayangkan pahala berzikir dan istighfar kalian pada malam itu adalah pahala berzikir dan beristighfar yang jauh lebih baik dari 1000 bulan ?
Wanita yang haidh yang “dibangunkan” Allah di malam Al-Qadar boleh mendengar bacaan al-Quran, dari sesiapa sahaja masyayikh atau dari bacaan suami sendiri semasa suami melakukan qiamullail.
Bayangkan pahala mendengar bacaan al-Quran kalian pada malam itu adalah pahala mendengar bacaan Al-Quran yang lebih baik dari 1000 bulan ?
Jangan sekali-kali merasakan diri kita kotor hanya kerana tidak boleh memegang mushaf al-Quran.
Hakikat sebenar kotornya seseorang itu adalah pada dosa-dosa yang masih terpalit tanpa pengampunan Tuhan dalam dirinya sedangkan dia melalui Ramadhan.
Syurga Allah SWT dan keampunan-Nya pada seluruh dosa-dosa yang menimpa para wanita tidak hanya mempunyai pintu-pintu masuk yang hanya untuk wanita sihat dari sebarang keuzuran syar’ie semata-mata.
Kemustajaban doa dari sisi Allah SWT tidak diletakkan pula syarat agar doa itu dilafazkan semasa dalam solat dan dalam qiam sahaja.
Allah SWT menciptakan Ramadhan dengan segala keberkatannya. Allah SWT yang sama mencipta wanita dengan segala kelemahannya.
Adakah Yang Mencipta tidak menyediakan sistem dosa dan pahala yang adil untuk manusia, lelaki dan perempuan yang diciptakan-Nya ?
فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ
Maka percayalah bahawa Lailatul Qadar bukanlah tetamu yang datang, yang hanya perlu disambut dengan solat dan bacaan al-Quran semata-mata.
Bukankah apa yang mahu diraih pada malam itu pahala 1000 bulan menerusi apa jua amal soleh meskipun tanpa solat dan tanpa memegang mushaf membaca al-Quran ?
Bukankah apa yang mahu diraih pada malam itu doa yang mustajab dari sisi Allah SWT ?
Ingatlah wahai wanita, “tidak beribadah” nya kalian pada malam malam Al-Qadar itu sebenarnya itulah hakikat “ibadah” di sisi Allah SWT.
Allah Maha Adil, maka lihat dan rasailah keadilan-Nya itu !
AMALAN
Bagi wanita yang “uzur” di sepuluh malam terakhir, janganlah bersedih dan bergundah gulana, ingatlah:
1. Haidh itu adalah suatu yang telah Allah tetapkan keatas kaum hawa. Redha dengan ketentuanNya juga satu ibadah yang besar.
2. Meniggalkan larangan ketika haid seperti solat, puasa dan lain-lain juga di kira sebagai ibadat, jika di niatkan mematuhi perintah Allah S.W.T. Sedangkan melakukan larangan tersebut dikira sebagai maksiat.
3. Berzikir dan berdoa tidak disyaratkan suci daripada haidh dan nifas. Ulanglah doa yang Nabi S.A.W ajar kepada Aisyah R.A iaitu:
اللَّهمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّيِ
Ertinya : Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maafkan kesalahan aku.
4. Berselawatlah kepada Nabi S.A.W banyak-banyak. Berselawat juga tidak disyaratkan bersih daripada haidh dan nifas. Kita berselawat kepada nabi sebagai ucapan terima kasih kepada baginda. Keistemewaan lailatul qadar ini hanya di berikan Allah kepada umat baginda S.A.W . Bagindalah “wasilah” bagi lailatul qadar ini.
Semoga kita semua memperolehi ganjaran lailatul qadar.
اللَّهُمَّ اجعلنا ممن أجزلت لهم ليلة القدر مع عظيم الأجر وكريم الذخر ….امين يا رب العالمين
Sumber: Syaari Ab Rahman