Kekurangan yang dihadapi oleh seseorang bukan penghalang untuk mereka berjaya. Apa yang penting, sokongan padu dari orang sekeliling yang menerima kekurangan dan sentiasa menyayangi mereka termasuklah ibu bapa. Sokongan padu dari ahli keluarga beri sangat memberi erti sehingga boleh beri impak positif pada seseorang.
Itulah yang dikongsikan oleh pelakon dan pengarah, Ahmad Idham bersyukur apabila anak istimewanya, Ahmad Firdaus, 21, kini sudah boleh berjalan meskipun memerlukan alat sokongan.
Melalui perkongsiannya di Instagram, Ahmad Idham berkata tiada perkara yang mustahil yang boleh dicapai kerana anak sulungnya itu telah disahkan mengalami focal encephalitis ketika kecil sehingga menyebabkan kesukaran untuk berjalan dan bertutur.
“Antara aktiviti hujung minggu, bawa Abang (Ahmad Firdaus) jalan-jalan untuk latihan kuatkan kaki Abang.
“Walaupun kadang-kadang ada benda kita rasa mustahil untuk kita capai, namun tidak pernah ada yang mustahil selagi Allah izinkan ianya untuk berlaku.
“Abang, ketika usia 2 tahun doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.
“Namun, hari ini abang dah boleh berjalan walaupun memerlukan alat sokongan, tapi abang tetap berjaya lakukannya,” katanya.
Menerusi entri berkenaan dia memuat naik video yang disunting ketika melakukan aktiviti beriadah dan bercuti bersama keluarganya.
Menurut Idham yang juga menubuhkan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus itu dia berbangga dengan anaknya serta berharap agar lebih ramai anak istimewa menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
“Daddy bangga dengan abang!
“Semoga lebih ramai anak-anak istimewa mampu menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang lain,” beritahunya.
Selain Ahmad Firdaus, Ahmad Idham dikurniakan tiga cahaya mata lain, Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.
Sumber : Ahmad Idham
“Takpe Nak Cakap Buruk Pasal Saya, Tapi Bukan Dekat Kanak -Kanak” Sharifah Sakinah Berang Anaknya Dihina
Menghina dan membuli merupakan satu perilaku yang sangat tidak berakhlak dan perlu dijauhi oleh setiap manusia. Sudah jelas, aktiviti membuli ini dapat meruntuhkan nilai moral dalam diri dan membentuk individu yang bermasalah pada masa akan datang.
Pelakon, Sharifah Sakinah juga terkena tempias kes ini dengan sikap netizen yang melampau yang sangat gemar membuli anaknya, Anais dengan perkataan yang tidak sepatutnya di laman sosial. Kes ini susulan penularan sebuah video di TikTok.
“Saya ingin menangani insiden baru-baru ini yang melibatkan Anais dan kakak saya yang telah mendapat perhatian tular di TikTok, walaupun aktiviti saya terhad di platform.
“Tidak mengapa jika kamu mahu bercakap buruk atau menganggap yang paling buruk tentang saya, tetapi tidak terhadap kanak – kanak. Sepanjang 15 tahun kehadiran saya di Instagram, saya telah meminimumkan perkongsian butiran peribadi untuk mengelak daripada masuk ke kandungan eksploitatif atau ulasan produk pemutih, pelangsing vagina ketat.” Kata Sharifah Sakinah menerusi posting di Instagramnya.
Tambah beliau, keutamaannya adalah kesejahteraan anak perempuannya dan menjaga nama baik keluarganya. Beliau sangat sedih untuk melihat pembulian itu ditujukan kepada kanak – kanak berumur enam tahun.
Sharifah Sakinah juga menganggap ini adalah amaran terakhir darinya sebelum beliau mengambil langkah undang – undang untuk melindungi orang tersayang. Beliau juga berharap semua individu dapat memupuk persekitaran dalam talian yang penuh belas kasihan di mana semua orang mengangkat satu sama lain daripada menjatuhkan satu sama lain.
Untuk rekod, Sharifah Sakinah pernah berkahwin dengan juruterbang Bernama Aliff Adha pada tahun 2015, namun hubungan mereka terlerai selepas disahkan bercerai pada Mei 2020. Hasil perkahwinan, Sakinah mempunyai seorang Cahaya mata Bernama Anais Adha.
Sumber: Instagram Sharifah Sakinah
Baca artikel menarik lain di sini:
- “Bijaknya Adik Ni…”-Warganet Tumpang Bangga, Senang Je Jawab Beza Pemimpin Tempatan & Eropah!
- “Abang Sentiasa Buat Saya Rasa Dihargai ..”-Coretan Isteri Reda Permergian Suami, Undang Sayu!
- Kuih Telaga Emas, Rupa Cantik Rasa Pun Sedap. Ni Resipi Boleh Cuba Buat!
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
”Kejapnya Dah 8 tahun, Makin Cantik Sarah, Persis Mamanya.” Wajah Anak Sulung Ashraf Muslim Raih Perhatian Warganet
Selain Norman, Memey dan Abby Abadi, pasangan Ashraf Muslim dan dua orang isterinya, Noor Dayana Dan Wan Sakinah antara yang menjadi perhatian umum dek Kerana keakraban mereka.
Walaupun pernah dihujani kontroversi sebelum ini, namun akhirnya hubungan mereka kembali jernih.
Malah, kebahagiaan rumahtangga dan kasih sayang antara keluarga besar Ashraf ini seringkali membuatkan ramai kagum. Ke mana sahaja mereka pasti bersama. Begitupun , keluarga ini lebih low profile dan jarang menonjol Di media.
Hasil perkahwinan Ashraf bersama Dayana, mereka telah dikurniakan seorang cahayamata lelaki bernama Anas Ashraf. Manakala bersama Wan Sakinah pula dikurniakan 3 orang cahayamata iaitu Sarah, Adam dan Safiyyah.
Menjengah ke akaun Instagram Ashraf Muslim baru-baru ini, pelakon ini telah memuatnaik beberapa keping gambar yang memaparkan sambutan ulangtahun kelahiran anak sulungnya, Sarah. Tanggal 5 April genaplah usia Sarah yang ke 8 tahun.
Rupa-rupanya, Sarah ini peminat durian. Jadi, bersempena hari lahirnya, mereka sekeluarga menyediakan kek berbentuk buah durian khas untuknya.
Menerusi kapsyennya, Ashraf berkongsi cerita mengenai sikap Sarah yang baik sebagai seorang kakak.
“Tahun ni genaplah Sarah Ashraf berumur 8 tahun. Ya Allah dah besar dah Anje ayah ni. Seronok melihat perkembangan Sarah dari masa ke semasa.
Katanya, anak perempuannya itu sering beralah dengan adik-adik, Bahkan Sarah juga seorang kakak yang penyayang.
“Sarah kakak yang baik dan penyayang , selalu jer beralah ngn adik2. Adik-adik cari gaduh ngn dia atau terpukul, kakak langsung tak balas balik.
“Bila adik-adik merajuk pandai pulak dia pujuk dan pandai jaga hati mama ibu. Faham tentang keluarga dan selalu doakan yang baik-baik.
Dalam pada itu, Ashraf turut menitipkan doa semoga impian anaknya untuk menjadi doktor gigi tercapai dan terus maju jaya dalam pelajaran.
“Ayah doakan semoga kakak berjaya dalam pelajaran dan tercapai cita-cita menjadi seorang doktor gigi.. amin. InsyaAllah. Ayah sayang Sarah ❤️
Happy birthday Sarah Ashraf 🎂❤️
We love you.
Terasa cepat sahaja masa berlalu, sudah besar panjang anak sulung Ashraf ni. Memang nampak banyak iras dengan wajah Sakinah. Ini diakui ramai warganet yang turut berkongsi ucapan hari lahir buat Sarah.
Sumber:ashrafmuslim
ARTIKEL MENARIK: “Menunggu Kepulangan Yang Tak Akan Pulang.” Baru 3 Hari Habis Pantang, Suami Pula Meninggal Dunia, Kisah Wanita Ni Bikin Sebak!
ARTIKEL POPULAR: “Ya Allah Adik Gagah Juga, Kakak Tumpang.” Gelagat Comel Aafiyah Ditegur Tokti Menyakat Adiknya Bikin Ramai Terhibur
BACA INI JUGA : “Cantiknya Baby Khadeeja, Secantik Namanya. Muka Chinese Look.” Intan Ladyana Dedah Wajah & Nama Anak
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
Disahkan Menghidap Sindrom Marfan, Keluarga Ini Terus Postif Berikan Yang Terbaik Untuk Permata Hati!
Melihat raut wajah Haslizar Rozali,41 tahun bersama pasangannya Aitirah Hamim, 36 yang diuji dengan kurniaan permata hati Nurain Jannah, 6 tahun yang cukup teristimewa, disahkan menghidap Sindrom Marfan. Kedua-duanya terlihat tabah, sabar dan masih mampu mengukir senyum biar dugaan yang ditempuh bukan calang-calang mampu ditanggung.
Ikuti kisah keluarga ini yang pernah diterbitkan di dalam Majalah Keluarga.
Mudah Lentur dan Fleksibel
Sindrom Marfan, mungkin ia pertama kali didengari. Bahkan, ia dikategorikan di antara beberapa jenis penyakit yang jarang dijumpai. Kira-kira seorang dalam setiap 5,000 orang menghidap penyakit ini, tidak kira jantina mahupun bangsa. Kira-kira tiga daripada empat orang yang mendapat sindrom ini akibat faktor genetik. Pun begitu, sesetengahnya adalah yang pertama memilikinya di dalam keluarga.
Jannah, pertama dalam keluarganya yang menghidap sindrom ini. Tidak kedengaran sesiapa ahli dalam keluarga sebelum ini yang pernah menghidap sindrom yang menjejaskan tisu penghubung badan. Akibat kelainan pada tisu ini, tumbesarannya terganggu bahkan turut memberi kesan terhadap organ-organ lain di dalam badan.
Selain kelihatan berbeza dari bentuk fizikalnya seperti ketinggiannya, jari jemari, tangan dan kaki yang panjang, kurus serta cengkung, tubuh Jannah juga ‘mudah lentur’. Kakinya boleh ‘ditolak’ jauh ke belakang menghampiri betisnya. Sama juga halnya pada bahagian tangan. Fleksibel, seperti orang yang mengamalkan yoga.
“Kita yang melihat ini rasa ‘sakit’ tapi sering saya bertanya kepada Jannah. Sakit atau tidak. Katanya sedikit pun tidak sakit. Inilah antara ciri-ciri ketara dan mudah dikenal pasti bagi pesakit sindrom ini. Walaupun begitu, terdapat beberapa lagi komplikasi penyakit lain akibat sindrom ini. Kebanyakan kes yang diketahui, ia boleh memberi kesan terhadap mata, otak, jantung dan buah pinggang.
Dalam kes Jannah, dia mengalami masalah jantung di mana pembuluh darah pada jantungnya membengkak. Selain itu, terdapat komplikasi pada mata, dan masalah scoliosis (masalah tulang belakang),” ujar Haslizar lagi. Tambahnya, Jannah dilahirkan dengan ‘dada burung’, jadi paru-parunya tidak berkembang dengan baik. Setiap kali dijangkiti batuk-batuk Jannah dadanya berombak deras dan membimbangkan. Batuknya juga sukar baik.
Kekurangan Zat Makanan
Imbas kembali ketika melahirkan Jannah, Aitirah berkata dia sangat terkejut melihat keadaan bayinya. Boleh dikatakan seperti melihat tubuh yang hanya mempunyai tulang yang diselaputi kulit. Nampak rangka tubuhnya. Biarpun bayinya lahir dengan berat normal, iaitu 2.5 kg, tetapi keadaannya itu membuatkan dia sendiri tergamam.
“Pada awalnya doktor kata bayi saya mungkin kekurangan zat makanan. Walau apa yang dikatakan doktor, tempoh sebulan selepas itu perkembangan Jannah sungguh positif. Berat badannya naik sehingga 4 kg. Hinggalah apabila umurnya sebulan dan mendapat suntikan dalam pemeriksaan rutinnya, berat badan Jannah turun mendadak.
“Sejak itu berat badannya tidak nampak bertambah. Ketika umur Jannah tiga bulan, semakin ketara fizikalnya dengan bayi seusianya. Bahkan doktor juga kelihatan terkejut melihat keadaan Jannah. Lantas doktor sarankan kami rujuk kes Jannah ke hospital Temerloh, Pahang. Jannah terus diwadkan dan ketika itu umurnya mencecah tujuh bulan.
“Doktor mahu membuat pemeriksaan lanjut, bimbang terdapat komplikasi lain pada mata, otak, jantung dan buah pinggang Jannah. Doktor memberitahu kemungkinan dia menghidap sindrom marfan. Dalam tempoh itu, banyak darahnya diambil ketika pemeriksaan dan ujian. Bahkan ketika ingin menjalankan ujian echo bagi melihat adakah komplikasi terhadap jantung, bius yang diberikan pada Jannah tidak berkesan walaupun sudah diberi melebihi dos untuk bayi seusianya.
“Disebabkan Jannah menangis, sukar untuk melihat apakah masalah sebenar pada jantungnya. Melihat darahnya kerap diambil kami semakin tidak senang hati. Tubuhnya kurus melidi seperti itu, tetapi banyak darah yang diambil. Lantas kami ambil keputusan untuk bawa Jannah keluar dari hospital.
“Kemudian, kami bawa Jannah untuk dapatkan pendapat kedua. Kami disarankan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Keadaan yang sama berlaku sekali lagi. Di HKL, hasil ujian mendapati pembuluh darah Jannah bengkak. Itulah yang menyebabkan Jannah mudah penat. Macam-macam yang kami rasakan apabila sekali lagi siri ujian yang sama dijalankan terhadap Jannah. Sekali lagi, kami bawa Jannah keluar dari hospital.
“Kami memang tidak tahu di mana tempat untuk merujuk kes seperti Jannah. Oleh sebab itu kami tidak tahu apa yang patut kami lakukan. Selepas di HKL, kami cuba dapatkan lagi pendapat lain di hospital Gleneagles. Kali ini, rekod-rekod kesihatan dan ujian Jannah dibawa ke sana. Sama seperti pendapat doktor pakar di HKL, doktor di situ juga memberitahu pembuluh darah Jannah bengkak.
“Doktor ada beri ubat jantung pada Jannah, untuk atasi masalah pembengkakan pembuluh darahnya. Namun, doktor sendiri tidak pasti apakah ia akan berkesan. Kemudian, doktor sarankan juga kami dapatkan kepakaran dari doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dan, kini kes Jannah sedang dirujuk di sana,” ujar Aitirah kronologi rawatan dan pemeriksaan yang telah dilalui oleh Jannah sejak bayi lagi.
Fokus Tambah Berat Badan
Tidak kira di mana-mana sahaja tempat yang disarankan oleh orang ramai untuk mengubati penyakit Jannah secara tradisional atau perubatan alternatif, Haslizar dan Aitirah akan berusaha untuk melakukannya.
“Sekarang, Jannah lebih aktif. Selera makannya sudah bertambah. Alhamdulillah, perubahan positif seperti ini membuatkan saya dan isteri sedikit lega. Apa yang kami tumpukan sekarang adalah untuk menaikkan berat badannya. Sekarang beratnya baru 12 kg. Jika berjaya tambah berat badan normal, barulah doktor akan lihat sisi lain untuk pembedahan.
“Andai terdapat banyak faedah, pembedahan untuk membetulkan masalah jantungnya akan dilakukan. Jika lebih tinggi risiko sehingga memudaratkan lagi keadaan kesihatannya, pembedahan tidak akan dijalankan,” ujarnya lagi.
Walau pun Jannah kekurangan dari segi fizikal, anak istimewa ini cukup bijak. Baru berusia setahun, menurut ibunya Jannah sudah pandai mengira dari satu hingga sepuluh. Pertuturannya juga lancar, sebutannya betul sebiji-sebiji. Tidak pernah pelat. Mungkin melihat kakak-kakaknya belajar membuatkan Jannah mudah ‘menangkap’ butiran pelajaran tersebut.
Aitirah memberitahu Jannah tiada masalah untuk bersekolah di aliran perdana. Cuma mungkin kondisi fizikalnya yang tidak mengizinkan membuatkan Aitirah berkira-kira untuk memberi home-school pada Jannah. Kakinya tidak kuat untuk berdiri betul, apatah lagi untuk terlalu lasak. Itulah yang membimbangkan kedua-dua pasangan ini.